Kuala Lumpur, 22 Mac 2025- Centerinvestigasi.id – Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan bahawa tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan 1 Syawal 1446 Hijrah telah ditetapkan pada petang Ahad, 30 Mac 2025 bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah.
Menurut kenyataan tersebut, proses penentuan awal Syawal akan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara, dan keputusan rasmi akan diumumkan pada malam yang sama menerusi siaran radio dan televisyen.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang hari Ahad, 30 Mac 2025 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah,” menurut kenyataan itu.
Penetapan awal Syawal di Malaysia dibuat berdasarkan Rukyah dan Hisab, seperti yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja. Setelah pengamatan dilakukan, keputusan akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Umat Islam di seluruh negara disarankan untuk menunggu pengumuman rasmi bagi mengetahui tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri tahun ini.



















